fbpx

Dapat ‘upah’ RM300 lepas syor jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga suspek ketika dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Semakin banyak syor dibuat, makin lumayan suapan diperoleh.

Itu modus operandi dilakukan sekumpulan enam kakitangan sebuah hospital sama di Selangor yang menjadikan skop kerja sebagai ‘ulat jenazah’ bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Perkara itu terbongkar susulan siasatan awal terhadap dua pembantu perubatan berusia 40 dan 42 tahun yang direman lima hari sejak 27 Mei lalu.

Kedua-dua mereka telah dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas reman terhadap mereka tamat semalam.

Menurut sumber, dua pembantu perubatan itu dikatakan melakukan perbuatan tidak berintegriti bersama empat lagi rakannya yang ditangkap pukul 6 petang kelmarin selepas ha­dir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, kesemua pemerdagangan jenazah itu dilakukan untuk satu pihak yang sama bagi pengurusan jenazah tersebut.

“Aktiviti mereka mudah iaitu mengesyorkan kepada waris supaya mengambil pengurusan jenazah yang dilakukan pihak berkenaan.

“Sekiranya berjaya, kumpulan kakitangan perubatan itu akan menerima ‘upah’ atau suapan sebanyak RM300,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelas sumber, kadar suapan yang diberikan juga adalah mengikut perbincangan dan situasi semasa dan berdasarkan siasatan tiada dalang antara enam kakitangan itu memandangkan mereka melakukannya secara bersama.

“Kita masih melakukan siasatan lanjut berapa jumlah jenazah telah didagangkan kumpulan suspek ini,” tegasnya.

Mengulas tangkapan terbaharu empat kakitangan itu, sumber memaklumkan masing-masing melibatkan dua pembantu perubatan dan dua penolong pegawai perubatan yang bertugas di bahagian forensik hospital sama.

“Empat kakitangan ini disyaki telah meminta dan mene­rima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah sejak 2018 hingga tahun lalu.

“Selain itu, tiga kakitangan perubatan berusia 35 hingga 38 tahun yang ditangkap semalam (kelmarin) kini direman selama lima hari selepas perintah mengenainya dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaman,” ujarnya.

Seorang lagi suspek yang meru­pakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! pada 7 Julai dan 22 Julai lalu membongkarkan mengenai pihak yang didakwa mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah pada kadar RM2,000 hingga RM5,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI