fbpx

Impak trending rosakkan kredibiliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GURAUAN dewasa antara Rosyam dan Shuib di pentas AME ahad lalu menjadi tular dan disalahtafsir oleh khalayak.

TULAR! Itu hakikat yang mudah merasuk banyak orang ketika ini.

Bermula dengan intuisi peribadi yang kemudiannya membiakkan respons tanpa banyak pertimbangan menjaga hati, ayat-ayat sensitiviti menuding jari dan komen-komen nakal dalam media sosial mudah sahaja mengheret sesiapa sahaja, termasuk media arus perdana untuk turut serta mengikut arus percakapan khalayak.

Kata sang bijak, kita jangan jadi pengikut, sebaliknya jadilah pelopor.

Namun sebagai pengamal media yang lama terdidik sebagai pelapor, mahu tidak mahu media arus perdana sedang akur dengan mengikut deras gelora media sosial.

Sama kes dengan kisah jenaka pentas antara selebriti bertaraf legenda, Datuk Rosyam Nor bersama ‘duda terhangat’, Shuib untuk tontonan umum pada majlis Anugerah MeleTOP Era, Ahad lalu.

Hanya disebabkan skrip penyedap majlis yang sebenarnya sudah direncanakan penyiar daripada proses praproduksi, hasil persembahan mereka dirasakan tidak kena segelintir khalayak.

Gurauan ‘kedai kopi’ dewasa dua lelaki itu menjadi buah mulut netizen. Acara jadi meriah, namun harganya, ada yang terhibur, ada yang dikecam.

Dalam sesebuah acara hiburan secara langsung, itulah permainannya. Umpan mengena, reaksi umum jadi tanda aras. Tinggal lagi bagaimana penerimaan dan budi bicara.

Terlepas pandang, laporan kisah sebagaimana dikatakan tidak sensitif itu turut membenarkan kata-kata umum, tanpa sedar berpatah balik menyentuh sensitiviti orang yang dikecam.

Barangkali ada dalam kalangan khalayak yang tidak sedar itu semua perancangan.

Sebelum sesebuah acara besar berlangsung, tambah lagi program anugerah siaran langsung, setiap baris pengucapan antara artis baik pengacara atau penyampai telah disediakan dan melalui proses rehearsal (sesi latihan).

Akan ada sesi bahan ‘membahan’ yang dipersetujui antara penerbit dan artis, antara artis dan artis.

Mungkin di mata khalayak, di atas pentas, mereka nampak seperti baru bertemu dan tiba-tiba disapa dengan ayat-ayat panas. Semua itu dirancang agar majlis tidak bosan.

Nampak seperti selesa atau tidak, itulah peranan selebriti, memberi emosi untuk menangkap perhatian penonton. Cuma silapnya, impak trending juga mampu merosakkan kredibiliti.

Dalam keghairahan menyiarkan kisah-kisah panas di media sosial, reputasi yang terjaga baik di pihak Rosyam, selebriti bertaraf usahawan dan orang berpengaruh itu turut tercalar.

Untuk Rosyam yang menjadi titik kecaman, hanya orang industri yang tahu setiap perancangan. Mengikut arus trending tidak salah, tinggal lagi, telunjuk netizen bukan juri yang selayaknya dijadikan pegangan.

Jika salah di mata ramai, kita terima. Jika harus diperbetulkan, kita sedia perbaiki.

Pada akhirnya, hubungan manusia dengan manusia ternyata lebih penting berbanding perkongsian cerita sebagai pengisi ‘sedap’ bacaan semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI