PETALING JAYA – “Siapa yang tidak mempercayai ilmu sihir, maknanya dia menolak al-Quran, dosa besar dan jatuh murtad.”
Demikianlah penjelasan daripada penceramah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih mesra dikenali Ustaz Kazim berhubung isu sihir yang menjadi bualan hangat pengguna media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas beberapa individu mempersoalkan tindakannya apabila tampil bercerita kepada umum tentang keadaan dirinya yang menjadi mangsa sihir sejak tahun 1997.
Menurut beberapa pengguna tersebut, sebagai pengamal Islam adalah tidak wajar untuk mempercayai perbuatan sihir kerana ianya adalah ‘karut’.
“Tak sangka, seorang ustaz boleh percaya disihir, aku yang jahil ini 100 peratus tak percaya,” komen seorang pengguna.
Sehubungan itu, Ustaz Kazim menyelar kata-kata tersebut dan menjelaskan tentang perbuatan sihir itu telah dijelaskan di dalam al-Quran serta hadis dan kewujudannya adalah benar.
“Siapa yang tak percaya adanya sihir, kafir, kerana perkara itu disebut oleh Allah dalam al-Quran,” jelasnya menerusi sesi temu bual eksklusif hari ini. – KOSMO! ONLINE