LONDON – Kapten pasukan Itali, Giorgio Chiellini mengakui cukup beremosi untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ pada saingan pentas antarabangsa menjelang aksi Finalissima menentang skuad Argentina di Stadium Wembley awal pagi esok.
Sebagai rekod, Chiellini dijangka berada dalam kesebelasan utama untuk mengemudi benteng pertahanan The Azzurri buat kali ke-117 oleh ketua jurulatih, Roberto Mancini sebelum bersara sepenuhnya daripada aksi antarabangsa.
Kata Chiellini, tiada perlawanan yang lebih sesuai untuk membuat penampilan terakhir bersama skuad Itali selain daripada bertemu Argentina dan aksi Finalissima adalah detik sesuai buat barisan pemain membuktikan sesuatu, sekali gus menjulang trofi berprestij.
“Ini adalah perlawanan yang saya nantikan dan aksi bertemu Argentina adalah momen terbaik buat kami menebus kembali kekecewaan di pentas antarabangsa. Ini kerana, kita semua tahu kualiti yang ada pada mereka selaku juara Copa America tahun lalu.
“Tidak wajar untuk kita katakan mengenai pasukan Argentina tanpa menyentuh pemain terbaik mereka, Lionel Messi yang dianggap sebagai ikon bola sepak dunia.
Berpeluang menentangnya pada aksi terakhir antarabangsa bagi saya, adalah satu penghargaan yang tidak dilupakan,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan berusia 38 tahun turut mengharapkan tuah Stadium Wembley selepas Itali berjaya menjuarai trofi Euro 2020 dengan menewaskan England di venue yang sama tahun lalu.
“Saya gembira apabila dapat membantu Itali bergelar juara Euro tahun lalu di Wembley dan sudah pasti harapan sama untuk perlawanan kali ini kerana saya mahu menjulang trofi buat penyokong setia kami,” katanya. – AGENSI