MANCHESTER – Selepas berjaya mendapatkan Erling Haaland, Manchester City seakan belum puas dan kelab itu sudah pun menyatakan kesediaan untuk terus ‘tabur kekayaan’ bagi mendapatkan lebih ramai pemain untuk harungi musim depan.
Pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak menegaskan walaupun sudah berjaya mendapatkan tandatangan Haaland dan Julian Alvarez, Manchester City tidak akan berhenti daripada terus melakukan pembelian pemain.
“Saya boleh sahkan yang akan ada lagi pemain akan dibawa masuk. Kami sedang menguatkan pasukan di beberapa kawasan yang dirasakan perlu. Seperti yang kamu tahu, setiap musim akan ada pemain yang keluar dan kami juga perlu mengembalikan kesegaran buat pasukan ini.
“Sekali lagi, kami pastinya mahu menguatkan lagi pasukan. Saya fikir kami sudah pun membuat dua keputusan penting (membeli Haaland dan Alvarez), namun kami tetap akan membeli pemain lagi.
“Namun, kamu sendiri tahu bagaimana pasaran pemain dan ia bukan dalam kawalan kami,” katanya menerusi laman web rasmi Manchester City.
Skuad The Citizens kini sedang melakukan penyusunan semula barisan serangan selepas ketiadaan Sergio Aguero, namun kehadiran Haaland seakan sudah pun menghadirkan rasa gerun buat pencabar lain terutamanya melihat kepada rekod pemain itu yang meledak 86 gol dalam 89 penampilan dengan Borussia Dortmund.
Di barisan serangan musim ini, anak buah Pep Guardiola sudah pun pamer kemampuan luar biasa apabila meledak 99 gol untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
“Di bawah Pep, ia bukan sekadar melengkapkan posisi. Kami perlu mencapai satu tahap yang kami tidak mampu dan sudah pasti kelab ini tidak akan berkompromi jika ia berkaitan dengan kualiti,” jelasnya.
– AGENSI