PADANG BESAR – Polis telah mengenal pasti seorang pelajar kolej swasta yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 16 tahun sehingga mengandung pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada semalam memaklumkan mangsa telah selamat melahirkan anak luar nikah.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa telah menjalinkan hubungan seks dengan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan berusia 25 tahun.
“Lelaki terbabit masih belajar di sebuah kolej swasta di Shah Alam, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shokri, kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik di Jalan Kaki Bukit, Beseri dekat sini pada Oktober tahun lalu.
Katanya, mangsa sebelum ini dipercayai melakukan pemeriksaan di sebuah klinik swasta dan didapati telah mengandung selama tujuh minggu.
“Mangsa tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga sehingga dia selamat melahirkan bayi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.