PETALING JAYA – Bulan lalu, timbul dakwaan mengatakan usahawan tudung, Mawar Karim sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan hatinya iaitu seorang ahli perniagaan berasal dari utara tanah air seperti didedahkan seorang individu kepada Kosmo! Online menerusi direct message (DM) Instagram.
Bagaimanapun Mawar, 33, yang ditemui pada majlis pelancaran Lana’s Bakery Land milik pelakon Lana Nodin di Kota Damansara beberapa hari lalu sebaliknya berkata, perancangan ke arah perkahwinan masih dalam proses sekali gus menutup dakwaan dia sudah berkahwin dengan lelaki itu.
Katanya, mereka masih pada peringkat mengenali hati budi masing-masing dan dia berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Insya-Allah (perkahwinan) dalam proses. Perancangan itu ada tetapi apa pun, Allah yang menentukan.
“Nak kata bila itu pun saya tak pasti. Mungkin bulan 12 atau bulan 1 tahun depan. Tak pasti lagi bila. Boleh jadi bila-bila masa saja. Tapi tak adalah kahwin mengejut macam raya mengejut tempoh hari,” ujarnya.
Pada masa sama, bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar itu bagaimanapun belum bersedia memperkenalkan insan istimewa itu kepada umum.
Hal ini jelas Mawar atau nama lengkapnya Mawar Abdul Karim tentang pendiriannya, dia sangat jarang berkongsi hal peribadi dalam media sosial melainkan membabitkan kerja.
“Dia orangnya biasa saja. Saya pun jarang kongsi kisah peribadi dalam media sosial. Majlis merisik ke apa, belum lagi. Sekarang cuma dalam peringkat saling mengenali.
“Kalau ditanya tentang ciri-ciri yang ada padanya, apa yang penting penerimaan anak dan keserasian mereka. Sebab kalau dia terima saya, pakej sekali dengan anak. Tak semua orang boleh terima wanita dengan status macam saya,” ujarnya.
April lalu, Mawar mendedahkan bahawa dirinya sedang mengenali seseorang yang istimewa sejak setahun lalu.
Menurutnya, lelaki itu bukanlah datang dari dunia hiburan mahupun politik tetapi merupakan ahli perniagaan yang berasal dari utara tanah air.
Selang beberapa hari kemudian, timbul dakwaan mengatakan usahawan itu sebenarnya sudah pun berkahwin dengan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk di Bukit Tinggi, Pahang.
Pendedahan individu tersebut turut disertakan beberapa keping gambar pengasas jenama Tudung Fareeda itu dengan tirai latar tertera pangkal namanya dan lelaki berkenaan seperti menggambarkan hari bahagia mereka.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada benar atau tidak keaslian gambar tersebut memandangkan usaha Kosmo! Online mendapatkan penjelasan Mawar pada ketika itu tidak berhasil. – KOSMO! ONLINE