SHAH ALAM – Tiga daripada empat kakitangan hospital yang disyaki terlibat dalam rasuah ulat jenazah direman selama lima hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia 35 hingga 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Sementara seorang lagi yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut sumber, terdahulu empat individu masing-masing dua pembantu kesihatan dan dua penolong pengawai perubatan itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Katanya, penangkapan suspek hasil siasatan lanjut terhadap dua pembantu perubatan yang telah direman sebelum ini.
“Mereka disyaki telah meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.
“Kesemua suspek juga dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 daripada seorang individu sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja berkenaan bagi tempoh 2018 hingga tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -KOSMO! ONLINE.