fbpx

Faktor operasi, teknikal punca penerbangan ditunda melebihi dua jam – Mavcom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan penemuan awal siasatan mengenai penundaan yang dilakukan beberapa syarikat penerbangan semasa tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, siasatan tersebut melibatkan analisis suruhanjaya mengenai gangguan jadual penerbangan berdasarkan data yang dikemukakan oleh syarikat dan pengendali lapangan terbang.

Menurutnya, berdasarkan penemuan awal Mavcom, sepanjang tempoh dari 29 April hingga 9 Mei 2022, lebih 6,000 penerbangan domestik dikendalikan oleh syarikat tempatan berbanding 8,000 penerbangan domestik sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Jun 2019.

Katanya, daripada jumlah sepanjang tempoh itu, sebanyak 495 penerbangan merekodkan penundaan penerbangan melebihi satu jam.

“Bagi kelewatan melebihi satu jam, Air Asia yang mengedalikan sebanyak 2,954 penerbangan mengalami sebanyak 13 peratus atau 368 penundaan, diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan, dengan 3 peratus atau 44 penerbangan tertunda.

“Seterusnya, MASwings yang mengendalikan 656 penerbangan, dengan 10 peratus atau 64 penerbangan ditunda manakala Firefly juga mengalami penundaan penerbangan sebanyak 2 peratus atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan yang telah dikendalikan.

“Selain itu, Batik Air yang mengendalikan 555 penerbangan dengan satu peratus atau empat penerbangan tertunda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, bagi penundaan penerbangan melebihi 2 jam, analisis Mavcom menunjukkan sebanyak 71 peratus atau 119 penerbangan ditunda disebabkan oleh faktor operasi.

“Ia termasuk kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal, dan kelewatan ketibaan lanjutan dari penundaan, antara lainnya.

“Ini diikuti oleh faktor-faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25 peratus atau 41 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam.

“Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96 peratus atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi dua jam dalam tempoh perjalanan tersebut. Faktor-faktor penundaan penerbangan lain adalah disebabkan keadaan cuaca buruk,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak suruhanjaya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi dua jam untuk memastikan sama ada ia mengikut seperti yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

Tambahnya, Mavcom ditubuhkan untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan sentiasa dilindungi, dan syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang yang sedia ada.

“Pengguna harus ditawarkan penjagaan secara automatik seperti yang tertakluk di bawah MACPC dan tidak perlu meminta penjagaan daripada syarikat penerbangan.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh pihak suruhanjaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI