MUNICH, Jerman – Seorang lelaki yang memiliki 10 identiti berbeza akibat masalah psikiatri tidak dapat belajar, bersosial, bekerja atau keluar rumah seperti manusia normal lain, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Leonard Stockl berkata, dia memiliki 10 personaliti dengan usia berbeza dikenali sebagai Kovu, 4, Hektor, 8, Ana, 16, Cosmo, 17, Ash, 18, Jessy, 19, Leo, 21, Billy, 23, Liv, 24 dan Red, 26.
Dia yang tinggal di bandar Munich, Jerman itu menghidap masalah Kecelaruan Identiti (DID) iaitu keadaan psikiatri yang jarang berlaku akibat trauma teruk ketika zaman kanak-kanak.
Stockl yang kini berusia 22 tahun, merujuk kepada personaliti kolektifnya sebagai sistem atau kumpulan identiti yang berkongsi satu badan, namun berbeza situasi.
Dia merujuk kepada dirinya sebagai tuan rumah kepada personaliti berbeza tersebut.
Stockl dapat menguruskan aktiviti hariannya sehingga usia remaja tetapi keadaan menjadi di luar kawalan apabila dia mengambil peperiksaan A-Level pada Jun 2021.
Kekerapan pertukaran identiti membuatkannya tidak dapat fokus dalam pelajaran dan mengalami hilang ingatan serta beberapa gejala lain.
Selepas tujuh tahun menjalani terapi, dia mula mencari klinik psikosomatik bagi mendapatkan bantuan untuk menguruskan DID dengan lebih baik.
Stockl dimasukkan ke sebuah pusat psikiatri pada Mac 2022 selama enam minggu, di mana dia menjalani beberapa terapi termasuk sesi bersama pakar, terapi fizikal dan terapi seni.
Dia kini meneruskan kehidupan dengan menjalankan perniagaan online di mana dia menjual penanda halaman buatan tangan dan beg jinjing. – Agensi