PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menepati ramalan apabila muncul juara pada kejohanan badminton bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan selepas menewaskan Chia Jeng Hon pada perlawanan akhir kelmarin.
Pada aksi di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Kuantan itu, Justin berdepan tentangan cukup sukar sebelum memastikan kemenangan dalam aksi tiga set 21-11, 15-21, 21-14.
Justin mengakui, dia memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut bagi membawa pulang pingat kejuaraan selepas lama tidak beraksi pada kejohanan kompetitif seperti itu.
“Memang betul, saya sudah lama tidak bermain pada kejohanan kompetitif, jadi ini adalah satu peluang terbaik untuk dapatkan kejuaraan. Saya gembira kerana dapat menjadi juara B-21 kebangsaan.
“Walaupun sudah lama tidak bermain dalam kejohanan, namun prestasi saya masih kekal dan tidak menurun. Bagaimanapun, bukan tugas mudah kerana semua pemain lawan bermain sangat bagus,” katanya.
Menerusi kemenangan tersebut, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya membawa pulang pingat emas kejohanan serta hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 sebagai juara perseorangan lelaki.
Sementara itu, gelaran perseorangan wanita menjadi milik pemain Pulau Pinang, Wong Ling Chin, manakala gandingan Muhammad Fazriq Mohd. Razif-Wong Vin Sean memenangi acara beregu lelaki.
Gelaran beregu wanita pula juga menjadi milik Pulau Pinang menerusi pasangan Teoh Lexuan-Wong Ling Ching sementara Tan Wei Liang-Ho Lo Ee menjuarai saingan beregu campuran.