fbpx

Bill Gates ramal dunia dilanda pandemik baharu 20 tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gates pernah memberi amaran dunia tidak bersedia menangani pandemik kesihatan semasa berucap di TED Talk 2015. - REV

WASHINGTON – Pengasas Microsoft, Bill Gates member amaran bahawa dunia akan berdepan pandemik baharu yang mungkin disebabkan oleh virus sedia ada, lapor laman berita RT, kelmarin.

Kata Gates, terdapat 50 peratus kebarangkalian wabak global seterusnya akan berlaku dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sebagai tambahan kepada pelbagai jenis virus yang sudah dikenal pasti, pandemik seterusnya mungkin berpunca daripada agen bioteror buatan manusia atau sesuatu dari dunia semula jadi akibat perubahan iklim.

Bilionair itu kini menumpukan bantuan kemanusiaan menerusi yayasannya ke arah usaha menyediakan vaksin dan menangani perubahan iklim.

Dalam usaha mengelak wabak seterusnya, Gates mencadangkan agar negara-negara  menubuhkan sebuah pasukan terdiri daripada 3,000 saintis bagi membuat kajian terhadap pelbagai jenis patogen berisiko tinggi.

Pasukan petugas itu dicadangkan diberi nama Mobilisasi dan Tindak Balas Epidemik Global(GERM) dan akan dibiayai menerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memerlukan tambahan dana AS$1 bilion (RM4.3 bilion) setahun.

Ini melibatkan peningkatan belanjawan sebanyak 25 peratus bagi memastikan kajian itu boleh dijalankan secara beterusan bagi mencipta penawar untuk pelbagai kemungkinan wabak.

Meskipun tidak memiliki sebarang pendidikan dalam bidang perubatan, Gates pernah memberi amaran pada 2015 bahawa dunia tidak bersedia untuk berdepan dengan kewujudan pandemik atau wabak global.

Ironinya, ketika Covid-19 melanda lima tahun kemudian, seluruh sistem kesihatan dunia lumpuh dan negara-negara terpaksa mengambil langkah drastik melaksanakan perintah berkurung sementara saintis berusaha mencari vaksin bagi virus itu.

Dalam pada itu, Gates tidak bersetuju dengan pendapat media bahawa wabak terbaharu selepas Covid-19 adalah cacar monyet yang sedang berleluasa di blok Eropah dan Amerika.

“Cacar monyet tidak memiliki potensi untuk memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dunia seperti yang berlaku dengan Covid-19.

“Namun, jika bukan kerana Covid-19, mungkin liputan mengenai jangkitan cacar monyet tidak mendapat perhatian dan ia satu perkara bagus kerana dunia perlu peka bahawa terdapat banyak penyakit yang sedia ada di dunia, namun tidak diendahkan,” ujar Gates. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI