KUALA LUMPUR – OCBC Bank (Malaysia) Bhd. (OCBC Bank) meneruskan minggu sokongan kewangan pasca moratorium di cawangan terpilih pada Sabtu dan Ahad ini, sehubungan respons baik yang diterima pelanggan hujung minggu lalu.
Pelanggan boleh mengunjungi cawangan OCBC Bank di Cheras, Kajang, Kepong, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Subang Jaya, Melaka, Taman Molek, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada 26 dan 27 September.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin berkata, pihaknya akan memastikan pelanggan mempunyai seberapa banyak saluran yang mungkin untuk berbincang dan mendaftarkan pilihan pembayaran mereka sebelum moratorium automatik berakhir pada 30 September.
“Kira-kira 10 peratus daripada mereka yang hadir minggu lalu terus mendaftarkan diri selepas berbincang dengan kami.
“Ada juga pelanggan yang masih memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan pilihan mereka sebelum memohon secara online.
“Ada juga yang tidak memerlukan bantuan selanjutnya dan terdapat pelanggan yang hanya bertanyakan status permohonan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Eng Bin menjelaskan, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada pelanggan meskipun selepas tempoh moratorium berakhir dan pilihan untuk hadir ke cawangan hanyalah alternatif buat mereka yang kurang selesa memohon secara online.
“Keperluan dan cabaran dihadapi pelanggan berbeza-beza dan setiap inisiatif yang dirancang pihak bank adalah selari dengan komitmen kami untuk sentiasa menyokong pelanggan di saat mereka memerlukan bantuan.
“Dari pihak pelanggan, mereka wajar menghubungi kami secepat mungkin supaya pertolongan dapat dihulurkan dengan segera,” katanya.