SHAH ALAM – Lebih 40 ajaran sesat di Selangor sentiasa dipantau termasuk sebarang cubaan ajaran agama berkenaan menerusi alam siber.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini bagi mengelakkan pihak tertentu menyebarkan dakyah sehingga menimbulkan kekeliruan di laman sosial.
Katanya, antara ajaran sesat yang dikesan dan dipantau termasuk Ajaran Ibu Yati, Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu.
“Kita tidak pernah berhenti daripada memantau ajaran sesat yang dibimbangi memesong akidah umat Islam.
“Buat masa ini, terdapat lebih 40 ajaran sesat yang dilaporkan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi menegaskan adalah tidak wajar ajaran agama dijadikan bahan jenaka.
“Sebelum ini, tular ritual buah kelapa dan teropong beberapa tahun lalu yang dianggap sebagai perkara melucukan oleh sesetengah pihak.
“Begitu juga video tular, kipas angin dijadikan makmum solat oleh pihak tertentu. Jika ada keperluan kita akan siasat walaupun ada yang menganggap ia sekadar gurauan,”katanya. -KOSMO!ONLINE