PETALING JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pemandu kereta Perodua Axia yang memandu melawan arus di Jalan SS4 di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan polis pada hari ini sekitar pukul 9.30 pagi.
“Polis juga memohon kerjasama pemilik rakaman kamera papan pemuka (dash cam) untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk membantu siasatan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Tindakan tegas juga akan diambil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya juga ingin mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelak kemalangan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan, muat naik atau berkongsi video serta gambar yang boleh menimbulkan keresahan pengguna jalan raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.