KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood, 19, hari ini mengakui bahawa kecederaan lecur pada remaja Sindrom Down Bella disebabkan tumpahan air termos dan bukan dari penapis air (Cuckoo) dalam kejadian di Rumah Bonda di Wangsa Maju pada Mei tahun lalu.
Yasmin mengakui perkara itu selepas bersetuju dengan cadangan soalan peguam Nurul Hafidzah Hassan bahawa air yang tertumpah pada Bella sehingga cedera adalah air termos yang berada di bilik laundry (dobi) yang mana Bella bermain dengan termos tersebut sebelum kejadian.
Ketika ditanya, ketika memberi keterangan pada pihak polis di lobi kondo bahawa air yang tumpah pada Bella adalah air termos, saksi itu menjawab ‘setuju’.
Dalam pada itu, saksi itu tidak pasti punca berlakunya tumpahan air termos pada Bella pada 6 Mei tahun lalu itu adakah disebabkan remaja itu dan seorang lagi penghuni yang dikenali Balqis bergaduh selepas Bella dikatakan menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis.
Sebelum ini semasa perbicaraan lalu, Yasmin pernah bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa Bella dicurah air panas tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.
Menurut saksi itu, dia sendiri mengambil air panas tersebut daripada alat penapis air (Cuckoo) yang mana air itu ada mengeluarkan wap dan pernah tertumpah.
Sementara itu, dalam prosiding sama, saksi itu tidak bersetuju dengan soalan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mengatakan bahawa seorang penghuni lain yang dikenali sebagai ‘Siti’ telah melihatnya mengikat Bella dan tidak memberi remaja itu minum air.
Pada prosiding sebelah petang pula ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, saksi itu mengakui bahawa dia tidak menceritakan atau memberi maklumat mengenai kewujudan kain yang dikatakan disumbat pada mulut Bella kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE