BACHOK – Penduduk Kampung Saman, Sri Kemunting di sini mempunyai cara tersendiri meraikan Aidilfitri apabila mengumpul wang bagi membeli 51 ekor ayam untuk dibakar dalam tin sebagai jamuan hari raya baru-baru ini.
Hidangan itu mampu menjamu 500 individu daripada 90 buah keluarga dan mereka berganding bahu mencari ayam di sekitar daerah ini meskipun makanan itu amat sukar diperoleh ketika ini.
Penghulu Mukim Sri Kemunting, Arrazi Abdullah berkata, penduduk terpaksa mencari ayam proses di lebih 20 gerai kerana peniaga mengehadkan hanya dua ekor bagi setiap pembelian.
“Ayam yang siap diperap akan dimasukkan dalam tin sebelum dibakar menggunakan pelepah kelapa. Jika dijual, harganya boleh mencecah antara RM15 hingga RM25 seekor,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Arrazi, penduduk turut menyediakan gulai dua ekor kambing dan 38 jenis makanan tradisional lain untuk para tetamu pada jamuan itu.
“Ia menjadi amalan tradisi penduduk kerana kami akan bergotong-royong menyediakan juadah tersebut untuk berbuka ketika bulan puasa,” ujarnya.