KESIHATAN yang baik adalah nikmat yang tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.
Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, kini kebanyakan orang pasti mengalami masalah kenaikan berat badan setelah munculnya bulan Syawal.
Mana tidaknya, pelbagai juadah enak disediakan seperti rendang, ketupat, lemang dan pelbagai lagi, malah jemputan demi jemputan rumah terbuka setiap minggu dalam tempoh sebulan juga menyumbang kepada punca kenaikan berat badan.
Walaubagaimanapun, itu bukanlah alasan bagi kita untuk menjauhkan diri daripada mengamalkan gaya hidup sihat. Mulakanlah dengan pengambilan makanan yang sihat.
Ia perkara yang dilihat senang dan mudah, namun amat sukar dilakukan dan sering kali ditangguhkan sehingga dibiarkannya berlalu begitu sahaja.
Bagi sesiapa yang sudah mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan berkhasiat teruskanlah usaha, namun bagi yang belum, lakukanlah sekarang selagi masih belum terlambat.
Pakar dietitian Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti cara makan yang disaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu suku-suku separuh.
Katanya, cara itu berkesan bagi menangani kenaikan berat badan sekali gus dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik.
“Adalah digalakkan bagi semua orang untuk menjaga pemakanan dengan pengambilan sukatan suku-suku separuh bagi mengelakkan daripada mengalami kenaikan berat badan yang boleh menjurus ke arah obesiti.
“Seseorang yang obes berisiko lebih tinggi untuk diserang penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, jantung serta kalori tinggi,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Farah, ada beberapa cara yang boleh dipraktikkan dalam pengambilan sukatan makanan.
“Cara pengambilan dengan suku pengambilan daging atau ikan, suku lagi pengambilan karbohidrat seperti roti, nasi atau bijirin, manakala separuh untuk buah-buahan serta sayur-sayuran.
“Semuanya bermula dari rumah, selain daripada melakukan senaman, pemakanan amat penting di dalam membendung penyakit-penyakit kronik,” katanya.
Jelas Farah, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjadikan buah-buahan sebagai snek harian.
“Bagi sesiapa yang suka mengunyah terutamanya selepas makan hidangan, jadikanlah buah-buahan sebagai snek harian anda.
“Percayalah pemakanan yang sihat mampu mengubah gaya hidup anda,” ujarnya.
Sebelum ini, KKM memaklumkan kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.
Jumlah itu mengatasi Brunei yang mencatatkan 14.1 peratus dan diikuti Thailand 10 peratus dan dan Indonesia sebanyak 6.9 peratus.
Menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019, 50.1 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Ini bermakna, satu dalam setiap dua rakyat dewasa negara ini mengalami masalah obesiti. Prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan orang dewasa adalah 30.4 peratus pada tahun 2019 dan ia meningkat secara mendadak sejak 1996.
Ia juga menyebut kira-kira 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes.