SEPANG – Seorang petugas media yang menjadi salah seorang daripada 84 petugas haji yang berlepas ke Tanah Suci hari ini menyifatkan, keberangkatannya ke Mekah sebagai hadiah rezeki sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang disambut semalam.
Editor Tugasan Bernama TV, Zalina Maizan Engah@ Ngah, 46, berkata, beliau hanya dimaklumkan terpilih sebagai petugas kira-kira 10 hari yang lalu dan ketika itu perasaannya bercampur-baur sama ada mahu mengikutinya atau tidak.
“Apabila diberitahu orang-orang yang rapat, tiada alasan pun untuk jawab ‘tidak’. Jadi ia beri aura kepada saya, mungkin haji ini Allah SWT nak beri dan sememangnya saya mohon berdoa untuk ke Tanah Suci.
“Tetapi tidak sangka melalui karier ini, saya dapat pergi ke sana. Ia juga disifatkan sebagai hadiah HAWANA 2022 semalam selain 20 tahun saya bertugas sebagai wartawan, jadi saya bersyukur diberi pilihan yang sangat sentimental ini,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada empat anak berusia tujuh hingga 18 tahun itu berkata, dalam tempoh 72 jam yang lalu, ia sangat mendebarkan kerana perlu menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.
“Saya pernah pergi umrah sebelum ini tetapi untuk haji kali ini, ia berbeza kerana kerjaya sekali gus perlu menjalankan tugas dan amanah selain ibadah.
“Situasi sedikit berbeza dan mungkin dugaan dan ujian itu juga berbeza. Diharapkan ia dipermudahkan sepanjang saya di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE