fbpx

Misha Omar sebak terkenang soalan ‘tribute’ Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Misha ketika membuat persembahan bagi segmen tribute Allahyarham Siti Sarah pada AME2021 malam tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi versatil Misha Omar mengakui tersentuh dan masih terngiang-ngiang mengenai soalan yang pernah diajukan rakan baiknya, Allahyarham Siti Sarah sekitar 15 tahun lalu.

Kata Misha, Allahyarham Sarah pernah bertanya kepadanya adakah akan ada segmen tribute khas buat mereka berdua andai ditakdirnya sudah tiada nanti.

“Kak Chah (panggilan buat Misha) rasa, bila sampai masa kita, ada ke segmen tribute untuk kita?

“Saya ketawa memandangkan kami baru setahun jagung ketika itu. Saya kata kalau kita ada banyak hits (lagu popular), Insya-Allah mesti ada.

“Dia kemudiannya bertanya lagi: “Tapi nanti, siapa yang akan nyanyi lagu-lagu kita?,” tulis Misha menerusi hantaran dalam Instagramnya.

Tambah Misha, kehilangan arwah Sarah mengajar jiwanya untuk menjadi lebih kuat dan tetap akan menjadi kenangan dalam jiwa.

“Tugasan di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) malam tadi amat berat untuk saya galas. Kerana hal ini pernah saya bualkan bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

“Setiap patah perkataan dalam lirik lagu Bersamamu hit me differently (memukul saya dengan beza sekali).

“Dilema perasaan antara mahu menyanyi dan menangis tiba-tiba bersatu menjadi segumpal rasa tersekat pada kerongkong, yang tidak juga saya temukan perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkannya,” luahnya.

Kata pelantun lagu Tanpa Rela itu lagi, pengalaman melakukan persembahan tribute semalam merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Impian Allahyarham Allah kabulkan, ada segmen tribute untuknya dan yang menyanyikan lagu hits beliau bukan calang orangnya, @ainaabdul.

“Pasti dia bangga masakan tidak, saya sahabatnya hati turut berbunga mendengar alunan Aina begitu baik melalui ke hujung dunia. Semoga kalian terhibur. Semoga nama Allahyarham tidak lekang dalam bacaan Al-Fatihah, Yasin dan doa kalian,” katanya lagi.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 selepas bertarung nyawa akibat Covid-19.

Allahyarham meninggalkan suami yang juga pelawak Shuib Sepahtu dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, serta Ayash Affan yang kini berusia sembilan bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI