SEPANG – Seramai 340 orang petugas berpengalaman Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, sekali gus berkurang berbanding angka pada tahun sebelum ini iaitu hampir 650 orang.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, walaupun jumlah tersebut dikurangkan, petugas TH tetap memberikan komitmen tinggi terhadap kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah.
“Kita telah membuat perancangan tertentu antaranya lebih ramai petugas berpengalaman dan petugas yang boleh bertugas di mana-mana sektor termasuk di Mekah dan Madinah, ‘multitasking’ dan fleksibel untuk menggerakkan mereka mengikut keperluan semasa.
“Petugas ini juga melalui saringan seperti mana jemaah haji yang lain termasuk pemeriksaan kesihatan. Bukan sahaja mengambil berat soal kesihatan malah, kemahiran dan pengalaman mereka supaya dapat memberi perkhidmatan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Petugas Haji ke Tanah Suci di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menyusun penerbangan untuk petugas haji tersebut dengan pelepasan seterusnya pada 2 Jun dan 5 Jun malah, ada juga bersama jemaah haji yang lain.
“Untuk hari ini, seramai 84 orang petugas berlepas dan sebelum ini seramai 13 orang sudah berangkat ke Tanah Suci. Saya dapati semua petugas sudah bersiap sedia dan akan membuat persiapan serapi mungkin untuk perkhidmatan kemudahan jemaah haji Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE