PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang ligat memarahi anaknya sehingga mengeluarkan kata-kata yang kurang enak ketika menaiki sebuah bas ke Temerloh, Pahang mendapat pelbagai reaksi di laman sosial.
Menerusi perkongsian sebuah klip video di laman sosial milik Qissy memaparkan dirinya berada di dalam sebuah bas sambil berlatarkan suara wanita yang ‘bising’ memarahi anak-anaknya.
Lebih mengejutkan, situasi itu dikatakan berlanjutan hingga membuatkan ramai penumpang rasa tidak selesa.
“Kau jangan menyusahkan aku,” marah wanita terbabit kepada anaknya yang sedang menangis.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dipercayai anggota polis tampil dan menegur perbuatan wanita itu dan mengarahnya supaya tidak berbuat demikian.
“Nanti saya bawa turun masuk balai. Jangan pukul budak macam tu. Ke nak saya hubungi polis? kalau awak nak naik bas, buat macam nak naik bas. Orang lain pun bayar tambang.
“Kalau nak tidur dalam lokap, saya boleh hubungi sekarang. Orang lain pun ada anak. Geram betul saya, daripada tadi dia belasah anak dia,” tegur lelaki tersebut.
Susulan insiden itu, orang ramai naik geram dengan wanita tersebut serta bersimpati dengan anaknya.
“Kasihan, kalau saya pun marah akak tu. Kenapalah pukul anak. Pujuk dia elok-elok dan bagitahu pemandu untuk berhenti bagi membolehkan anaknya buang air,” kata Nurhidayah.
“Kalau saya akan ambil anak dia dan pujuk. Mak dia ‘burn out’ (penat) agaknya,” luah Siti pula.
“Mak dia mungkin ada tekanan dan lepaskan pada anak dia. Mungkin masalah dengan suami. Kalau iman tak ada boleh cepat hilang sabar,” ujar Cahaya. – KOSMO! ONLINE