TUMPAT – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 541 ekor burung murai batu yang dianggarkan bernilai RM571,500 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Jubakar di sini semalam.
Rampasan dijalankan kira-kira pukul 4 petang semasa anggota PGA menjalankan Op Wawasan Kelantan di sekitar kawasan tersebut sebelum melihat sebuah MPV jenis Chery Eastar dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan K. Ramesh berkata, anggota bertugas menahan pemandu MPV yang berusia 28 tahun itu sebelum menjumpai 32 bakul plastik berada di dalam kenderaan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak 541 ekor burung murai batu yang dipercayai diseludup dari negara jiran diletakkan di dalam bakul-bakul plastik tersebut.
“Kesemua burung murai batu yang dirampas dianggarkan bernilai RM571,500.
“Siasatan mendapati, pemandu MPV itu berasal dari Gerik, Perak dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua burung murai batu itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.
Dalam perkembangan sama, menurut Ramesh, Batalion 8 PGA telah berjaya menahan 12 orang lelaki dan tujuh buah kenderaan dalam tempoh tiga hari penugasan Op Wawasan Kelantan di sempadan negara.
“Bermula 26 Mei hingga semalam, sebanyak sembilan kes tangkapan dilaporkan dengan jumlah rampasan kira-kira RM2 juta.
“PGA akan terus mempertingkatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di Sungai Golok bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE