LONDON – Meskipun tewas 0-2 kepada Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam kelmarin, pengurus Chelsea, Frank Lampard tetap gembira dengan aksi yang ditampilkan pemainnya.
The Blues gagal meraih tiga mata di laman sendiri selepas Sadio Mane meledak dua jaringan selain beraksi dengan 10 pemain apabila Andreas Christensen dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun, Lampard menegaskan, skuad kendaliannya perlu menjadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat selain gembira dengan peningkatan benteng pertahanan.
“Saya gembira dengan prestasi benteng pertahanan. Kami sudah tampilkan aksi terbaik ketika melakukan serangan balas pantas, jadi saya gembira dengan prestasi semua pemain.
“Memang saya kecewa gagal dapatkan tiga mata tetapi kami sudah tampilkan aksi lebih baik berbanding ketika menang ke atas Brighton. Saya anggap kami masih berada pada aksi pramusim kerana terlalu lama rehat,” kata Lampard.
Sementara itu, beliau berkata, pasukannya masih memerlukan masa untuk mencipta keserasian memandangkan The Blues membawa masuk ramai pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini.
“Saya anggap ia sebagai permulaan. Kami perlukan masa untuk cipta keserasian sebelum mencapai apa yang kami inginkan,” ujarnya. – AGENSI