PUTRAJAYA –Sistem Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak mengesan pengaktifan transmiter pengesan kecemasan (ELT) di sekitar kawasan berhampiran Tanjung Bunga, Georgetown, Pulau Pinang yang didakwa menjadi lokasi sebuah pesawat ringan terhempas semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati semua penerbangan termasuk penerbangan persendirian yang beroperasi semalam telah berlepas dan mendarat dengan selamat.
“CAAM ingin memaklumkan bahawa sistem kami tidak mengesan ELT di sekitar kawasan yang dilaporkan.
“ELT adalah alat yang menyiarkan isyarat khas pada frekuensi yang ditentukan dan, bergantung pada aplikasi, dapat diaktifkan secara automatik oleh impak atau diaktifkan secara manual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
CAAM berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan sebarang penemuan baharu akan dimaklumkan kepada semua agensi terlibat.
“Sekiranya ada pembaharuan mengenai hal ini, semua agensi yang terlibat akan dimaklumkan sewajarnya,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan dua individu yang berada di pesisir pantai di Tanjung Bunga mendakwa melihat sebuah pesawat ringan terhempas di perairan tersebut kira-kira pukul 2 petang semalam.
Pesawat tersebut didakwa dilihat berlegar-legar di udara sebelum dikatakan terhempas ke dalam laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dilaporkan berkata, Pasukan Polis Marin yang membuat pemantauan juga mendapati tiada serpihan pesawat di lokasi terbabit. – K! ONLINE.