JAKARTA – Pawang hujan dari Indonesia, Rara Istiati Wulandri dikecam netizen selepas membuat ramalan bahawa anak kepada Gabenor Jawa Barat, Ridzwan Kamil iaitu Emmeril Khan Muntadz mungkin sudah meninggal dunia selepas hanyut di Sungai Aare, Switzerland, Khamis lalu.
Menurut laporan Hops.com, Rara atau Mbak Rara yang memuat naik bacaan kad tarot yang kononnya mewakili keadaan semasa Emmeril atau Eril mengatakan, badan pemuda itu sejuk dan bakal ditemui tidak lama lagi.
Ramalan Mbak Rara yang popular apabila kononnya berjaya menghentikan hujan di Litar Motor GP Mandalika baru-baru ini dikritik tidak mempunyai simpati atau belas kasihan kepada keluarga Ridzwan.
“Ini boleh dikategorikan sebagai berita palsu dan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Sehingga kini, tiada berita sahih dari keluarga mangsa jadi jangan ditambah rasa sedih mereka,” tulis seorang pengguna media sosial.
Bagaimanapun, Mbak Rara seperti tidak mempedulikan kecaman itu dan memberitahu, dia hanya menyampaikan apa yang dilihat dalam bayangannya.
“Bayangan saya mungkin salah dan boleh berubah. Namun, apa yang saya dapat rasakan sekarang, terdapat bayangan kubur di tengah laut, perasaan cinta kepada keluarga dan lautan.
“Saya berharap tubuh Eril segera ditemui dan kekuatan diberikan kepada seluruh keluarganya,” tulis Mbak Rara di laman Instagramnya.
Eril yang merupakan anak sulung Ridzwan dilaporkan hanyut ketika mandi manda bersama rakan serta adik perempuannya di Sungai Aare pada Khamis lalu ketika suhu sungai mencecah 16 darjah celcius.
Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa Switzerland dengan tiada maklumat lanjut mengenai keadaan Eril diberitahu setakat ini. – Agensi