MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia ditubuhkan bagi mendukung standard dan tahap profesionalisme kewartawanan negara.
Beliau berkata, pusat itu boleh berfungsi untuk mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia.
“Pusat kajian ini juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.
“Saya berharap ia dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan Malaysia, juga di Nusantara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Wartawan Nasional 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaafar serta kira-kira 700 pengamal media dari seluruh negara.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan editor dari Negara ASEAN termasuk 15 pemimpin media utama dari Indonesia.- KOSMO! ONLINE