PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal mengadakan lawatan rasmi julung kali ke Sweden, Denmark dan Norway yang bermula hari ini sehingga 5 Jun depan.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, lawatan ke tiga negara Skandinavia itu akan memberi peluang kepada beliau bertemu rakan sejawatnya bagi memperkukuhkan pelbagai kerjasama.
“Beliau dijangka membincangkan langkah-langkah ke hadapan dalam kerjasama yang telah lama terjalin dan memberi ruang perbincangan serta bertukar-tukar pandangan,” katanya.
Lawatan tersebut turut akan dijadikan wadah interaksi mengenai kerjasama pasca Covid-19, ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan secara bersama.
Semasa lawatan pertama ke Sweden mulai hari ini sehingga 31 Mei, Saifuddin dijadual mengadakan pertemuan bersama dengan Menteri Luarnya, Ann Linde di ibu kota Stockholm.
Turut ditemui beliau kelak ujar Wisma Putra, ialah Timbalan Speaker Pertama Parlimen Sweden, Asa Lindestam serta ahli-ahli Jawatan kuasa Hal Ehwal Luar negara Eropah berkenaan. – KOSMO! ONLINE