KUALA SELANGOR – Persembunyian seorang banduan yang meloloskan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan sejak 10 April lalu berakhir selepas diberkas polis di daerah ini, kelmarin.
Banduan dikenali Muhammad Syafiq Rohmat, 32, itu ditahan di sebuah bengkel kereta dan motosikal di sekitar Bukit Rotan, kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan lelaki itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) selepas menerima maklumat awam.
Katanya, serbuan itu turut menahan dua lagi lelaki berusia 23 tahun dan sejumlah dadah di bengkel tersebut.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati seorang daripada tiga individu itu merupakan banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu bulan lalu.
“Kita turut merampas lapan paket plastik lutsinar disyaki berisi heroin dan dua paket syabu yang semuanya dianggarkan bernilai RM17,400,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu melarikan diri pada 10 April lalu.
Namun, enam daripada tujuh banduan itu berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza di sekitar Negeri Sembilan.
Jelas Ramli, semakan mendapati banduan itu terlibat dengan penagihan dadah sejak 13 tahun lalu.
“Lelaki itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain mempunyai rekod dikehendaki iaitu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, banduan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE