JEMPOL – Seorang operator ladang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit nahas di Kilometer 7, Jalan Bahau-Juasseh, di sini, pukul 9.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian tersebut, Mohd Zainuddin Miskam, 24, beralamat di Felda Palong Timur 3, Batu Anam, Segamat, Johor, disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangi mangsa, kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dan lori ais jenis Isuzu yang dipandu oleh lelaki berusia 33 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati, semasa penunggang motosikal yang menunggang seorang diri dari arah Palong Timur menghala ke Kuala Pilah tiba di tempat kejadian telah merempuh bahagian belakang kanan kereta jenis Honda City yang ingin masuk ke simpang kiri jalan dilaluan yang sama.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa telah tercampak masuk ke laluan bertentangan dan pada masa yang sama datang lori dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE