MELAKA – Malaysia tidak akan menutup pintu masuk sempadan meskipun kes cacar monyet dunia dilaporkan meningkat dan merebak di lebih 20 buah negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa telah dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mencegah kemasukan virus itu ke dalam negara.
Katanya, justeru itu Kementerian Kesihatan (KKM) melihat tiada keperluan untuk pintu sempadan negara ditutup, sebaliknya langkah persediaan kes dilakukan termasuk ujian pemeriksaan virus di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).
“Pintu sempadan tidak akan ditutup, sebaliknya kita buat saringan yang ketat, kalau ada simptom pesakit akan diasingkan.
“Makmal MKAK juga telah bersedia dan ada kemampuan untuk menjalankan pemeriksaan virus cacar monyet ini, begitu juga pemerkasaan di peringkat hospital” katanya pada sidang akhbar Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan Kali Ke-7 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini negara tidak merekodkan atau menerima sebarang laporan membabitkan cacar monyet.
“Penyakit ini menyerang benua Afrika dan negara-negara yang bukan endemik seperti di Kanada dan di Eropah.
“Setakat ini kita masih bebas daripada virus ini dan pintu sempadan perlu terus dibuka untuk mengukuhkan kembali sektor ekonomi serta pelancongan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu kini sektor perubatan negara berdepan dengan kekurangan pakar dalam bidang psikatrik dan geriatrik.
“Negara kita menua, kita tak cukup pakar geriatrik atau pakar sakit orang tua di mana golongan ini menghidap penyakit tertentu pada usia mereka.
“Begitu juga psikatrik, kes penyakit tekanan mental semakin meningkat sejak pandemik dua tahun lalu (kes), jadi kita perlukan lebih pakar lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE