TAIPING – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan hasil audit mengejut Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) mendapati loji sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia telah melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan telah menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
“Terdahulu, kita pada 13 Mei lalu telah pun membatalkan dan menghentikan loji penyembelihan terbabit sebelum perkara itu disahkan oleh SICHMA.
“Sebaik sahaja pekara itu disahkan hari ini, semua produk keluaran dari loji itu tidak lagi diterima atau dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Raya Asnaf QSR-SPE di Restoran KFC Simpang di sini hari ini.
Menurutnya, berhubung dengan produk dari loji yang masih berada di pasaran, segalanya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.
“Jakim juga akan turut menghantar pasukan melakukan pengesahan audit halal di SICHMA dan loji-loji penyembelihan yang berkaitan dalam membekalkan bekalan daging ke pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE