KLANG – Keseronokan tiga remaja lelaki mandi di Sungai Kembung, Pulau Indah di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas hari ini.
Mayat mangsa berusia 14 tahun yang dipercayai tidak pandai berenang itu ditemukan di sekitar sungai tersebut, kira-kira pukul 4 petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.26 petang.
Katanya, siasatan mendapati mangsa mandi di tebing sungai itu bersama dua rakannya berusia 10 dan 15 tahun.
“Mereka kemudian dipercayai hanyut dibawa arus berdekatan Jeti Nelayan Sungai Kembung dengan kedalaman air kira-kira tiga meter.
“Dua daripada remaja itu masing-masing diselamatkan orang awam dan berjaya berenang ke tebing manakala mangsa mangsa lemas di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, gerakan operasi mencari mangsa dijalankan sepasukan 16 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
“Operasi yang turut disertai Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor itu berjaya menemui mangsa pukul 4 petang.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE