fbpx

Jual 10,000 telur penyu sebulan, percaya dapat ubati penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSHILA menunjukkan telur penyu yang masih dijual di gerainya di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Menjelang detik pengharaman penjualan telur penyu secara terbuka di Terengganu mulai 1 Jun ini, sambutan terhadap makanan eksotik itu masih tinggi.

Berdasarkan maklum balas peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini, telur penyu laris bagaikan pisang goreng pada bulan terakhir penjualannya.

Dianggarkan lebih 10,000 biji telur penyu telah terjual sepanjang bulan Mei ini dengan kebanyakan pelanggannya dalam kalangan penduduk tempatan.

Salah seorang peniaga, ­Norshila Shukri, 58, berkata, permintaan terhadap telur penyu mentah mahu pun jeruk tidak pernah menurun walaupun rata-rata mengetahui pengharaman penjualannya akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya mampu menjual sehingga 200 biji telur penyu setiap hari sepanjang bulan ini. Kebanyakannya dari spesies agar yang didapati daripada pembekal tempatan.

“Jualan akan meningkat pada hujung minggu kerana terdapat permintaan daripada pelancong yang mahu mencuba,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan pindaan Enakmen Penyu 1951 dengan me­ngenakan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM50,000 hingga RM250,000 berban­ding hanya RM3,000 sebelum ini bagi kesalahan berkaitan penyu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu November tahun lalu.

Terengganu merupakan ne­geri terakhir di negara ini yang mengharamkan penjualan telur penyu.

Norshila mengakui, penjualan telur penyu menjanjikan pendapatan lumayan, namun dia akur dengan ketetapan diputuskan kerajaan negeri.

Seorang lagi peniaga telur penyu, Hayati Mad Zain, 54, memberi jaminan penjualan makanan esotik tersebut akan dihentikan serta-merta mulai 1 Jun ini.

Katanya, permintaan tinggi bukanlah alasan dia dan rakan-rakan peniaga lain untuk terus berniaga telur penyu biar pun secara curi-curi kerana hukumannya sangat berat.

“Denda antara RM50,000 sehingga RM250,000 atas kesalahan menjual telur penyu sangat besar dan di luar kemampuan kami,” katanya.

 

Percaya dapat ubati penyakit punca laris

Makanan tradisi dan kepercayaan khasiat boleh mengubati pe­nyakit menjadi alasan segelintir penduduk Terengganu, terutama generasi lama begitu menggemari telur penyu.

Selain dinikmati secara turun-menurun, segelintir percaya amalan makan telur penyu boleh meningkatkan tenaga batin, mengubati pe­nyakit lutut dan asma walaupun ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik.

Salah seorang peminat tegar telur penyu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 52, memberitahu, dia meminati telur penyu sejak kecil.

“Sewaktu kecil, saya se­ring mengikut arwah ayah me­ngutip telur penyu di sekitar pesisir pantai di Kemaman.

“Masa itu, penyu spesies belimbing masih banyak dan telurnya jauh lebih besar berbanding spesies agar. Sebaik dikutip, sebahagian kami akan terus rebus dan makan panas-panas,” katanya.

TELUR penyu rebus yang semakin digemari ramai.

Khairul mendakwa, telur penyu sangat sedap dengan rasa berlemak walaupun teskturnya seperti telur ayam separuh masak.

Dakwanya, kelazatan telur penyu semakin bertambah jika dimakan segar sebaik dikutip di dalam timbunan pasir pantai.

Seorang lagi penggemar te­lur penyu dikenali sebagai Rahimah, 65, pula mendakwa, dia mengamalkan makan telur penyu untuk mengubati penyakit lututnya.

“Sakit lutut saya kurang selepas kerap makan telur penyu. Itu petua orang lama-lama.

“Tidak tahu hendak dapat di mana bekalan telur penyu selepas ini setelah kerajaan (negeri Terengganu) mengha­ramkan sepenuhnya penjualan secara terbuka pada 1 Jun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI