WASHINGTON – Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) mendapat pengiktirafan Guinness World Records kerana mempunyai tatu berbentuk segi empat sama paling banyak di dunia, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Matt Gone mempunyai 848 tatu berbentuk petak hitam pada seluruh badannya. Dua doktor terpaksa membantunya mengira jumlah tatu berkenaan dalam percubaan untuk memecahkan rekod dunia.
Lelaki itu berkata, proses tersebut adalah menyakitkan terutamanya apabila hidung dan jari kakinya dicat. Dia malah bersin mengeluarkan dakwat hitam.
“Bahagian paling menyakitkan untuk membuat tatu adalah hidung. Saya bersin mengeluarkan dakwat hitam selama kira-kira 20 minit selepas itu. Ia perkara paling menyakitkan pernah saya lalui,” katanya.
Gone mendapatkan tatu pertamanya pada tahun 1985 dan sejak itu dia telah membuat tatu pada lidah dan bola matanya.
“Kelopak mata sangat menyakitkan walaupun diberi ubat bius. Saya mempunyai bahagian dalam kelopak mata bertatu,” jelasnya.
Gone juga berkata bahawa dia adalah orang keenam di dunia yang pernah mendapatkan tatu pada bola mata. Warna bola matanya bertukar dari biru kepada hijau dan kini dia menambah warna magenta dan emas. – Agensi