KAHERAH – Presiden Abdel Fattah Al-Sisi secara sinis menyarankan rakyat Mesir untuk memulakan amalan memakan dedaun pokok sebagai alternatif kepada kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini, lapor portal Middle East Monitor.
Menurut Al-Sisi, selain menjimatkan wang, ia juga adalah perbuatan yang turut diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W semasa zaman baginda.
Beliau tidak bimbang jika ada yang mengatakan bahawa sekilo bendi berharga 100 pound Mesir (RM23.55).
Ini kerana semasa zaman Rasulullah, katanya, baginda bersama beberapa rakan terperangkap di pinggir Mekah selama tiga tahun dan bertahan hanya dengan memakan daun.
Al-Sisi seterusnya berkata bahawa pada masa ini umat Islam tidak sepatutnya merungut, malah mencadangkan rakyat Mesir harus bersabar dan tidak menuntut penyelesaian segera.
Pada Mac lalu, Mesir berpaling kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) buat kali ketiga dalam tempoh enam tahun untuk memohon pinjaman ketika negara itu bergelut dengan rasuah, wabak Covid-19 dan perang Russia ke atas Ukraine.
Penganalisis meramalkan bahawa kenaikan harga bahan api dan makanan mungkin akan mencetuskan kekacauan awam di Mesir di mana satu pertiga daripada penduduk hidup di bawah garis kemiskinan. – Agensi