PUCHONG – Kerajaan negeri menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memandang serius berhubung isu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dilaporkan sering mengalami kelewatan sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, masalah LRT itu tidak sepatutnya berlaku kerana akan menjejaskan ribuan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut khususnya untuk ke tempat kerja.
“Kita rasa dukacita kerana LRT sering mengalami kerosakan. Sepatutnya ia tidak boleh terjadi kerana selama ini kerajaan negeri bekerja keras untuk menggalakkan lebih ramai orang guna pengangkutan awam.
“Diharap pihak kementerian dapat melihat isu ini dengan lebih serius. Pengguna memerlukan perkhidmatan LRT yang tepat pada masa selain kekerapan perjalanan terutama pada waktu puncak,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Four Points di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Sze Han lagi, kegagalan pihak berkaitan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan terbabit juga dikhuatiri akan mengurangkan minat orang ramai untuk menggunakan pengangkutan tersebut.
“Sekiranya mereka (syarikat pengangkutan awam) tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang selamat dan tepat pada masa, maka sukar untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam selepas ini.
“Banyak aduan diterima di media sosial yang mana pengguna tidak lagi yakin untuk menaiki LRT selepas beberapa kali terperangkap, sebaliknya memilih untuk memandu sendiri. Ini turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di Lembah Klang akhir-akhir ini,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sekali lagi berdepan masalah kelewatan selepas mengalami gangguan sama empat hari, sebelumnya akibat masalah teknikal. – KOSMO! ONLINE