BRASILIA, Brazil – Sebuah bongkah batu besar menyerupai watak utama filem sains fiksyen, E.T. The Extra-Terrestrial menjadi tarikan pelancong selepas ditemui di sebuah ladang terpencil di Brazil, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Batu gergasi setinggi 6.09 meter itu mempunyai corak rekahan yang menyebabkan ia kelihatan hampir sama seperti wajah makhluk asing daripada filem klasik berkenaan karya Stephen Spielberg. Filem itu popular sekitar tahun 1980-an.
Bongkah batu itu terletak di sebuah ladang di negeri Roraima yang dimiliki oleh pengarah Jabatan Alam Sekitar Sao Luiz, Miguel Barreto.
Barreto menemui batu itu selepas kebakaran yang berlaku pada 2002 dan merebak ke seluruh ladang itu.
“Saya melihat kawasan yang terbakar dan tidak memberikan banyak perhatian. Namun apabila melihatnya sekali lagi, saya terkejut kerana bongkah batu itu kelihatan seperti ET,” katanya kepada saluran berita Brazil, G1.
Sejak itu, bongkah tersebut mula menjadi terkenal dalam kalangan penduduk luar bandar. Batu itu telah diiktiraf sebagai Landskap Semula Jadi oleh Jabatan Pelancongan dan Alam Sekitar bandar itu pada tahun lalu.
Pengunjung bagaimanapun tidak dikenakan bayaran untuk memasuki ladang dan melihat batu tersebut. – Agensi