WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan tidak berhasrat menarik balik sekatan perdagangan ke atas Russia walaupun diberi amaran tentang kenaikan harga makanan global, lapor laman berita RT kelmarin.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Jabatan Negara, Ned Price kepada wartawan semasa taklimat harian pada Rabu lalu.
Price dengan tegas menafikan dakwaan Moscow bahawa sekatan Barat menjejaskan keupayaan Rusia untuk mengeksport makanan dan baja, namun beliau tidak memberi bukti menyokong kenyataannya.
“Kami pasti tidak akan menarik balik sekatan sebagai tindak balas kepada janji kosong dan kami pernah mendengar janji kosong Russia sebelum ini,” kata Price ketika ditanya sama ada Washington akan membatalkan sekatan Barat seperti dicadangkan oleh Moscow.
AS sebaliknya menuduh Russia bertanggungjawab terhadap kenaikan harga makanan dunia dengan meneruskan misi ketenteraannya di Ukraine.
Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko berkata, krisis makanan boleh dikurangkan dengan menarik balik sekatan ke atas eksport dan transaksi kewangan Russia.
Price menolak kenyataan itu dan sebilangan komen lain oleh pegawai Russia kerana menganggapnya sebagai pembohongan dan maklumat palsu.
“Sekatan AS tidak menyebabkan gangguan eksport pertanian Russia. Hakikatnya, AS membenarkan eksport pertanian dan baja dari Russia,” jelasnya. – Agensi