PARIS – Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengharungi musim cukup cemerlang sepanjang kempen 2021/22 apabila sudah meledak 44 gol dalam semua pertandingan termasuk 15 jaringan di pentas Liga Juara-Juara.
Justeru, pemain antarabangsa Perancis itu tekad untuk menamatkan musim cemerlang kali ini dengan membantu Real menjulang trofi Liga Juara-Juara menjelang perlawanan akhir menentang Liverpool di Stade de France awal pagi esok.
Lebih manis, sekiranya Real memenangi perlawanan itu nanti, ia merupakan gelaran ke-14 buat mereka selain menjadi trofi Liga Juara-Juara kelima peribadi buat Benzema sepanjang kariernya.
Biarpun akan turun pada perlawanan paling penting musim ini, namun Benzema menjelaskan, dia langsung tidak berasa tertekan, sebaliknya tidak sabar untuk membantu pasukan menewaskan Liverpool.
“Satu-satunya tekanan yang saya hadapi sekarang adalah menunggu masa untuk melangkah masuk ke dalam padang. Sebaik sahaja saya melangkah masuk, tekanan ini akan hilang serta-merta dan fokus saya untuk jaringkan gol.
“Kami hanya perlu nikmati perlawanan itu nanti dan pastikan penyokong pulang dengan kegembiraan. Saya dan rakan sepasukan berada dalam keadaan terbaik dan persiapan juga berjalan dengan lancar,” katanya.
Pada masa sama, bekas pemain Olympique Lyon itu juga tanpa berselindung mengakui gembira dengan prestasi yang ditampilkan musim ini, namun masih belum mahu meletakkan dirinya sebaris dengan legenda kelab, Cristiano Ronaldo.
“Saya sangat gembira dan bangga kerana musim ini merupakan kempen yang sangat cemerlang untuk saya dari segi jaringan, umpanan serta trofi. Saya tidak tahu kedudukan saya dalam sejarah kelab, mungkin perlu tunggu karier saya tamat,” ujarnya.
Benzema sudah pun menyamai rekod Raul Gonzalez sebagai penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Real dengan 323 gol, namun masih jauh dengan pencapaian Ronaldo yang meledak 451 gol. – AGENSI