JAKARTA – Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Fachrul Razi disahkan positif ujian Covid-19, kata seorang pegawai menteri berkenaan hari ini, lapor akhbar Jakarta Post.
“Pada 17 September lalu, menteri hal ehwal agama tersebut mengambil ujian koronavirus dan keputusannya adalah positif,” kata pegawai itu, Kevin Haikal dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
“Syukurlah, beliau berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang gejala membimbangkan,” kata jurucakap kementerian itu pula, Oman Fathurahman.
Menurutnya, Fachrul telah menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Zainut Tauhid dan dibantu pegawai-pegawai lain semasa beliau berada dalam kuarantin dan menunggu untuk sembuh.
“Beliau mengarahkan para pegawainya untuk meneruskan program dan perkhidmatan kementerian serta memberi tumpuan kepada pencegahan Covid-19 dalam institusi pendidikan serta agama,” tambah Oman.
Pada masa sama, menteri tersebut turut meminta para pegawainya mengagihkan bantuan termasuk bantuan sosial, manakala semua penyelarasan program kementerian itu akan dilakukan secara online. – AFP