PARIS – Pemain ranking No. 1 dunia, Iga Swiatek terus menyusun langkah dengan cemerlang apabila merekodkan 30 kemenangan berturut-turut musim ini selepas menewaskan Alison Riske pada aksi pusingan kedua Terbuka Perancis awal pagi semalam.
Pada aksi di Roland Garros itu, Swiatek yang juga juara edisi 2020 tidak mempunyai masalah untuk menewaskan wakil dari Amerika Syarikat itu dengan kemenangan straight-set 6-0, 6-2.
Bagaimanapun, Swiatek mengakui tidak menghiraukan rekod tersebut meskipun menjadi pemain wanita keempat dalam sejarah yang berjaya meraih 30 kemenangan berturut-turut sebelum ini.
“Saya tahu ini adalah kemenangan ke-30 berturut-turut saya musim ini, tetapi secara jujur, saya tidak kisah dan enggan memikirkan mengenai potensi mencipta rekod atau sebagainya.
“Ini kerana saya lebih berminat untuk menumpukan satu perlawanan ke satu perlawanan, selain meraih pengalaman sebanyak mungkin yang boleh mematangkan saya pada masa depan.
“Apa yang pasti, mungkin disebabkan saya ada menukar strategi untuk bersaing dengan lebih kompetitif musim ini, selain menguatkan tahap fizikal telah membantu meningkatkan lagi potensi buat saya mencatat kemenangan,” katanya.
Swiatek yang juga atlet dari Poland berusia 21 tahun itu dijadualkan bertemu dengan pemain kelahiran Montenegro, Danka Kovinic pada pusingan ketiga malam ini. – AGENSI