PETALING JAYA – Hanya pengantin lelaki yang disunatkan untuk diadakan kenduri manakala bagi pengantin perempuan hukumnya harus.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, dalam perkahwinan pengantin lelaki sahaja yang disunatkan untuk diadakan kenduri bagi memaklumkan berkenaan perkahwinannya.
“Nabi pernah berpesan, buatlah kenduri walau ia kecil-kecilan. Apa yang dimaksudkan nabi itu adalah pada pihak lelaki.
“Jika keluarga pengantin perempuan nak dibuat juga kenduri, maka belanja majlis itu adalah tanggungan ibu bapanya bukan atas pengantin perempuan itu, ” jelasnya.
Tambah Azhar, orang sekarang hukum harus itu diibaratkan wajib sehingga kenduri yang diadakan itu ibarat seperti menunjuk-nunjuk.
“Ada majlis yang membeza-bezakan antara orang kaya dan miskin. Beri kad jemputan lain-lain, kalau orang kaya kad mahal manakala bagi miskin kad murah.
“Kad jemputan untuk datuk-datuk harga mahal buka pun dah bunyi kompang, kalau orang biasa ni hanya yang fotostat sahaja.
“Begitu juga bekas telur, kalau orang kaya beri yang mahal, orang miskin bagi yang murah, kalau ada majlis macam ini kita tidak perlu pergi, ” ujarnya. – KOSMO! ONLINE