PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal lagi dalam permohonannya di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes solar itu.
Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membuat memutuskan demikian selepas menolak permohonan Rosmah selaku pemohon.
Pada masa sama, panel-panel itu turut menolak permohonan Rosmah untuk menggantung pendengaran keputusan perbicaraan kes rasuah tersebut yang dijadualkan pada 7 Julai ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, mahkamah ini sependapat dengan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memaklumkan mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan kes berkenaan dan menggugurkan ketua pendakwaan itu.
Panel-panel itu berpendapat, apa yang dimohon Rosmah mesti tertakluk mengikut perkara dibenarkan Kanun Acara Jenayah (CPC).
“Mahkamah jenayah tidak diberi kuasa untuk memberi perintah berbentuk deklarasi. CPC merupakan undang-undang yang menyeluruh dan komprehensif berkaitan prosedur prosiding mahkamah jenayah. Maka, persoalan mengenai mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai relif yang dimohon (Rosmah) tidak timbul,” katanya.
Dalam prosiding hari ini Rosmah diwakili peguam Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaaan selaku responden diwakili Sri Ram.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 7 Julai ini bagi keputusan pertuduhan rasuah Rosmah.
Sama ada Rosmah dibebaskan atau tidak daripada pertuduhan itu, keputusan itu akan ditentukan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Pada tarikh itu, isteri kepada bekas perdana menteri tersebut bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau.
Pada 11 Disember 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.
Kemudian pada 18 Februari 2021 Rosmah diarah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.
Pada peringkat bela diri itu, seramai dua saksi iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Rosmah sendiri memberi keterangan dan pembelaan menutupnya kesnya pada 23 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 70, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.- KOSMO! ONLINE