PERKAHWINAN bersama jurulatih kecergasan asal Sweden, Michael Hansen baru berusia lebih setahun dan masih dalam fasa bulan madu. Nampak ceria, namun tidak seperti kebanyakan pasangan lain, pelakon sensasi Sharifah Sakinah juga melalui satu fasa pengorbanan apabila terpaksa menjalani hubungan perkahwinan secara jarak jauh antara Malaysia-Sweden.
Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, pergorbanan tersebut dilakukan demi tiga anak hasil perkahwinan terdahulu, baik dirinya mahupun Michael.
Kata wanita berusia 33 tahun itu, tidak adil untuk mereka mengorbankan masa depan anak-anak semata-mata mahu hidup bersama.
Untuk rekod, Sakinah memiliki seorang anak perempuan, Anais Adha, 5, hasil perkahwinan terdahulunya dengan juruterbang, Aliff Adha, sementara Michael mempunyai dua orang anak bersama bekas isterinya di Sweden.
“Kami sanggup menjalani kehidupan jarak jauh kerana anak-anak. Tidak mungkin bapa akan tinggalkan dua orang anaknya di sana, kerana dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan bergilir setiap minggu menjaga anak-anak dengan bekas isterinya.
“Saya pula tidak akan bawa Anais tinggal di Sweden kerana dia memiliki bapa di sini. Tambahan Anais satu-satunya anak bekas suami, jadi saya tidak akan korbankan masa depan anak-anak demi kami mahu bercinta dan tinggal bersama,” ujar Sakinah membuka bicara.
Sungguhpun begitu, Sakinah tetap mempunyai impian untuk tinggal bersama suami selepas anak-anak mereka meningkat usia.
“Bercinta dalam perkahwinan ini sekejap sahaja. Selepas itu, akan ulang masalah yang sama. Oleh itu, lebih baik saya berkorban sekarang, apabila anak-anak sudah besar nanti kami akan tinggal bersama.
“Mengenali saya seorang penghidap disleksia dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), memang saya tidak boleh berjumpa suami setiap hari, saya perlu bekerja dan memang suka berlakon. Suami juga bekerja di sana.
“Buat masa ini, saya selesa dengan aturan kehidupan sekarang, namun sebagai wanita dan isteri tipulah jika tidak sedih, kadangkala terasa rindu.
“Cuma saya perlu kuat dan kawal emosi supaya tidak berfikir yang bukan-bukan,” kongsi wanita yang mengumumkan pernikahannya pada Februari lalu.
Meskipun Sakinah dan suami masih belum ada sebarang perancangan untuk menambah zuriat dalam masa terdekat, namun pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu mendedahkan impiannya mahu bersalin di Sweden andai dikurniakan rezeki memiliki zuriat bersama Michael suatu hari nanti.
Bersalin di Sweden
“Memang ramai yang kata mesti dapat anak cantik jika kami mempunyai anak, tetapi buat masa ini kami lebih pentingkan tiga orang anak yang kami ada.
“Namun, jika kami ada anak pada masa depan, saya mahu bersalin di Sweden kerana semua benda percuma. Meskipun cukai di sana adalah sebanyak 50 peratus, tetapi semua keperluan rakyat diberi percuma.
“Hospital kerajaan mereka seperti hospital swasta di Malaysia, jika sakit rawatan adalah percuma. Jika pasangan yang telah berkahwin tidak memiliki anak, rawatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) adalah percuma dan banyak lagi perkhidmatan diberikan secara percuma untuk rakyat Sweden,” ujar Sakinah.
Biarpun banyak kelebihan yang diperoleh andai melahirkan anak dan tinggal di Sweden, Sakinah secara jujur menjelaskan dia masih belum bersedia untuk berpindah dan menguruskan keluarga sendirian.
Ditambah dengan kos sara hidup di sana cukup tinggi berbanding di Malaysia, Sakinah harus berfikir masak-masak sebelum mengubah kehidupan secara drastik.
“Barang-barang dan rumah di sana cukup mahal. Bayangkan rumah yang kami duduki berkeluasan 1,200 kaki persegi sahaja sudah mencecah harga RM6 juta. Suka atau tidak saya harus ubah cara hidup ketika berada di sana.
“Di Sweden, gaji pekerja juga tinggi, jadi saya tidak ada pembantu rumah seperti mana di Malaysia. Saya sedar diri yang saya masih belum mampu mengurus anak sendirian atau menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Sekarang pun saya masih tidak yakin untuk membawa Anais bersama ke Sweden, jika besar sedikit barulah saya akan bawa ke sana,” tutur Sakinah.
Kongsi Sakinah lagi, 20 Jun ini dia akan terbang ke Sweden untuk bercuti selama dua bulan bersama suaminya selepas bekerja keras di set penggambaran sejak Januari lalu.
“Saya akan ke Sweden selama dua bulan sehingga Ogos sebelum ke Bangkok, Thailand selepas itu untuk bercuti. Selain berehat, saya juga akan bertemu dengan pakar psikiatri dan ahli terapi untuk rawatan mental, ADHD.
“Bayangkan untuk diagnosis masalah mental yang saya hadapi di Sweden kosnya mencecah RM17,000. Memang mahal, tetapi saya mahu pendapat yang berbeza.
“Seperti penyakit kanser, ada orang memilih menjalani rawatan kemoterapi, ada yang mencari rawatan alternatif. Begitu juga saya, kerana jika boleh saya tidak mahu bergantung kepada ubat,” kata Sakinah yang turut mendapat rawatan bersama ahli terapi di Bali, Indonesia dan empat doktor di Malaysia.
Tunggang ‘gila’
Dikenali sebagai salah seorang pejuang penyakit mental di Malaysia, Sakinah bagaimanapun enggan menunggang penyakitnya untuk memperoleh pendapat lumayan.
Sebaliknya, Sakinah sering membuat perkongsian tentang rawatan dan perkara berkaitan penyakit mental secara percuma kepada orang ramai menerusi kumpulan dalam Telegram.
“Saya tidak akan tunggang saya punya ‘gila’ ini untuk mendapatkan kerjasama dengan produk-produk tertentu dan buat duit daripadanya.
“Andai saya gunakan produk tersebut dan memang bagus, barulah saya akan kongsi. Saya tidak mahu kejar wang atau kekayaan. Dahulu, saya selalu buat konten dan reviu dalam Instagram, memang dapat banyak duit.
“Tetapi, sekarang apabila difikirkan balik, kaya-kaya sangat pun hendak pergi mana jika jiwa dan diri tidak tenang. Oleh itu, saya memilih untuk membantu orang ramai mengikut kemampuan saya dengan cara berkongsi ilmu dan rawatan yang dijalani di luar negara,” kata adik kepada pelakon dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah itu.
Jemputan Ke Neraka
Bersambung bicara tentang kerjayanya, Sakinah yang ditemui di set penggambaran filem Jemputan Ke Neraka terbitan sulung produksi milik Anne Ngasri iaitu AN Universal di Pulau Carey, Selangor baru-baru ini begitu teruja dapat membintangi sebuah karya psiko thriller.
Sakinah bersetuju membintangi filem sulung pengarah Amor Rizan itu kerana yakin dengan kemampuannya dan pasukan produksi.
“Saya memang sukakan karya psiko thriller, tambah lagi dapat bekerja dengan Amor selaku pengarah.
“Walaupun ceritanya penuh tekanan, kami semua gembira dan seronok. Cabarannya mungkin daripada segi emosi sahaja,” ujar Sakinah.
Selain Sakinah, filem Jemputan Ke Neraka itu turut dibintangi Janna Nick, Hafreez Adam, Alif Hadi, Aleza Shadan dan ramai wajah baharu seperti Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah dan Wafariena.
Meskipun bergandingan dengan ramai pelakon baharu, Sakinah bersikap terbuka.
“Saya bukan jenis yang bertanya siapa barisan pelakon. Andai menerima tawaran berlakon dan tertarik dengan karya itu saya akan bersetuju tanpa fikir siapa pelakon lain yang terlibat.
“Saya juga tidak kisah andai ditawarkan watak pelakon pembantu. Bagi saya sebagai pelakon kita yang mencorakkan watak yang diberi, walaupun kemunculan hanya dua babak sahaja, tetapi jika kita beri yang terbaik orang akan nampak dan pasti diingati penonton,” luah Sakinah.
Kongsi Sakinah lagi, seperti dalam filem Jemputan Ke Neraka, biarpun ramai pelakon baharu, namun mereka memberi yang terbaik dan sebagai pelakon lebih senior menjadi tugasnya untuk membuat mereka berasa selesa.
“Sebagai pelakon senior saya tidak meletakkan sempadan antara mereka.
“Jika pelakon yang lain selesa, secara automatik keserasian itu akan wujud depan kamera, tidak perlu dibuat-buat.
“Saya pernah ada pengalaman ketika awal berlakon dahulu, pelakon senior buat tidak kisah dengan kami yang baharu, jadi kurang selesa hendak bekerja.
“Saya memahami perasaan itu, jadi saya tidak mahu pelakon baru yang berlakon dengan saya melalui perasaan yang sama.
“Sedar ruang dan sedar diri. Jika kita kita mudahkan kerja orang, orang akan mudahkan kerja kita,” tutup Sakinah.