SHAH ALAM – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM16,000 bagi menutup kes berkaitan dokumen palsu, Februari lalu.
Tertuduh, Azrol Khalil, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan termasuk pilihan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, Azrol yang ketika itu bertugas sebagai detektif di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima suapan bernilai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 52 tahun bagi menutup kesnya yang sedang disiasat bahagian berkenaan.
Justeru, dia yang kini bertugas di bahagian pentadbiran didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Azrol juga didakwa pertuduhan pilihan menerima wang tunai dengan nilai dan individu sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Taman Prima Sri Gombak pada 7 Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, P.G Cyril mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.
“Kini tertuduh menerima gaji sebanyak RM1,700 dan menanggung isteri dan tiga anak tiri yang kini tinggal di kuarters kakitangan awam di sebuah hospital.
“Saya ada mengemukakan penyata pendapatan isteri kepada mahkamah dengan tertuduh tidak mempunyai pasport antarabangsa,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor pada awal setiap bulan dan sebutan semula kes pada 28 Jun depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua anggota polis yang disyaki terlibat dalam rasuah bernilai RM20,000 bagi menutup kes berkaitan dokumen palsu direman selama empat hari, bermula 18 Februari lalu. -KOSMO! ONLINE