PUTRAJAYA – Sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang bulan Syawal dengan aktiviti ziarah-menziarahi adalah diharuskan meskipun yang disyariatkan agama cuma pada tarikh 1 Syawal.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi slot Irsyad Al-Fatwa disiarkan laman rasminya semalam berkata, apa yang penting ialah tidak melakukan perkara dilarang syarak.
“Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal, namun menyambutnya sepanjang Syawal dengan melakukan ziarah merupakan kebiasaan baik dan diharuskan oleh Islam,” katanya.
Jawapan tersebut adalah bagi mengulas persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai budaya kelaziman orang Melayu di Malaysia meraikan Hari Raya Puasa sehingga sebulan Syawal.
Situasi berkenaan amat jauh berbeza dengan umat Islam di luar negara terutama masyarakat Arab rantau Timur Tengah yang sekadar menyambut perayaan itu pada hari pertama Syawal.
Mengulas lebih lanjut PMWP berkata, berdasarkan kitab Tahzib al-Lughah, hari raya atau ‘aid dalam bahasa Arab, datang dengan kegembiraan setelah sebulan berpuasa pada Ramadan.
Ia turut disabdakan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis riwayat Abu Daud bahawa Allah menggantikan dua hari bergembira penduduk Madinah dengan lebih baik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Isu ini pernah dikupas ulama Ibn Hajar al-Asqalani dengan menjelaskan antara faedah hari raya ialah menzahirkan kegembiraan bersama ahli keluarga yang termasuk dalam syiar agama.
“Ia disesuaikan pula suasana di Malaysia apabila ziarah ke rumah saudara dan rakan diteruskan sehingga akhir Syawal dengan kegiatan rumah terbuka dan sebagainya,” kata PMWP.
Justeru ujar agensi itu, memang tidak dinafikan hari raya puasa disyariatkan hanya 1 Syawal, tetapi budaya di Malaysia merupakan uruf atau adat kebiasaan yang baik untuk diamalkan.
Malahan, secara umum, mana-mana adat masyarakat setempat yang tidak bertentangan dengan nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus kecuali ada dalil bagi pengharamannya.
PMWP menambah, isu tersebut pernah dijelaskan menerusi slot Al-Kafi li al-Fatawi disiarkan laman rasminya pada 2019 lalu yang turut mengesahkan bahawa tradisi itu bukanlah bidaah tercela. – KOSMO! ONLINE