LANGKAWI – Sebuah feri membawa penumpang dan kenderaan jenis Roll On Roll Off (RORO) yang sedang dalam proses pembaikan terbakar di limbungan kapal di Bukit Malut di sini malam semalam.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.15 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik stor di aras dua feri tersebut yang mana api telah dipadamkan oleh orang awam sebaik anggota bomba tiba di lokasi.
“Tindakan anggota bomba seterusnya membuat pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE