“SEMUANYA berlaku dengan pantas. Pada mulanya saya dikatakan menghidap kanser payudara tahap satu sebelum disahkan ia sebenarnya berada pada tahap dua.
“Sebaik pembedahan dijalankan, saya dikejutkan dengan berita paling buruk dalam hidup apabila disahkan menghidap kanser itu di tahap tiga,” kongsi Lim Kim Foong.
Wanita ini merupakan salah seorang pesakit yang diuji dengan kanser payudara. Lebih mencabar apabila beliau didiagnosis dengan kanser payudara sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19.
Biarpun menjalani fasa hidup yang penuh emosi ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun wanita ini berjaya mengharungi ujian tersebut apabila beliau kini sembuh daripada pembunuh nombor satu yang meragut nyawa ramai wanita di negara ini.
Bahkan semangat yang ada dalam dirinya itu jugalah membolehkan Kim Foong dilantik sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) yang baharu pada 26 Mac lalu.
Sebagai seorang bekas pesakit kanser payudara, dia merupakan seorang ahli aktif dalam persatuan tersebut dan kerap berkongsi pengalaman serta menghulurkan sokongan dan bantuan kepada komuniti kanser payudara di negara ini.
“Saya merupakan seorang yang aktif dan gemar bersukan. Setiap hari, pasti saya akan bersukan tidak kiralah mendaki (hiking), pergi ke gimnasium mahupun berlari.
“Apabila hujung minggu pula, saya aktif dengan maraton. Disebabkan itu, apabila melihat terdapat benjolan besar pada bahagian payudara, sukar untuk saya terima saya menghidap kanser payudara.
“Tambahan pula dalam sejarah keluarga saya, tiada seorang pun yang didiagnos dengan penyakit ini,” katanya.
Begitupun, berkat kesabarannya, wanita ini bebas daripada penyakit tersebut selepas menjalani pembedahan dan melengkapkan dirinya dengan beberapa siri rawatan susulan.
“Sokongan daripada keluarga sangat penting dalam melalui fasa ini. Saya bersyukur kerana mendapat pasangan yang banyak membantu mengharungi fasa sukar ini.
“Biarpun ketika pandemik yang mana keluarga tidak dapat berziarah, namun saya beryukur mereka sentiasa ada bersama saya dengan mengirimkan doa.
“Sakit sewaktu pandemik, saya tidak mahu belas kasihan daripada kenalan. Sebaliknya mahu mereka berikan sokongan emosi supaya saya dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa,” luahnya.
Tatkala ditanya perasaannya apabila dilantik sebagai presiden persatuan itu, Kim Foong melahirkan rasa berbesar hati dan gembira kerana dipilih untuk menaungi sebuah organisasi yang hebat dan disanjungi ramai.
Tambahan pula ujarnya, ia disokong oleh sebuah pasukan yang amat bersemangat dan mempunyai ramai penderma serta rakan kongsi berdedikasi.
“Matlamat saya dalam menerajui organisasi ini adalah untuk meningkatkan pencapaian kami sepanjang 36 tahun ini.
“Saya yakin, dengan kerjasama pasukan BCWA, kami dapat memberikan sokongan emosi, sosial dan material kepada komuniti kanser payudara di Malaysia yang merupakan teras utama untuk semua aktiviti kami.
“Di BCWA, kami memahami bahawa diagnos kanser payudara boleh menjadi sesuatu yang mencabar dari segi emosi dan fizikal. Namun, pesakit tidak perlu mengharungi semua cabaran ini seorang diri,” katanya.
Ujarnya lagi, mereka perlu tahu bahawa kehidupan yang aktif selepas didiagnos kanser payudara adalah penting bagi memberikan lebih keyakinan diri.
Terdapat pelbagai jenis sokongan selain rawatan yang boleh membantu pesakit hidup bahagia dan berhubung dengan pesakit kanser payudara lain.
Kim Foong berkata, kaedah itu dapat membantu dalam memberikan galakan dan sokongan emosi.
Bercerita lanjut, menurut Kim Foong, dia menyaksikan sendiri perubahan besar yang berlaku terhadap pesakit kanser itu menerusi kerjasama dengan pihak-pihak tertentu.
Katanya, ia dibuat menerusi penyediaan pendidikan awam, pengesanan awal kanser payudara dan panduan bagi wanita bagi mendapatkan rawatan lanjut tepat pada masanya.
“Sebagai sebuah komuniti pemimpin, penyedia penjagaan kesihatan, peniaga profesional, penggubal dasar dan juga secara individu, kami berusaha dalam memastikan kehidupan selepas didiagnos kanser payudara boleh dilalui sepenuhnya setiap pesakit.
“Ini termasuklah untuk diagnos metastatik. Inilah visi yang memberi semangat kepada saya,” ujarnya.
Sebelum menyertai BCWA, Kim Foong membina kerjaya dengan syarikat multinasional.
Dengan pengalaman luas dalam kepimpinan dan semangat juang yang tinggi, Kim Foong berhasrat untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat negara ini.
Dia kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di University of East London.