fbpx

Letupan Tak Bai: Rumah penduduk Pengkalan Kubor bergegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Pengkalan Kubor melihat situasi selepas kejadian tembakan dan bom di Tak Bai, Narathiwat di selatan Thailand semalam. – ZULHANIFA SIDEK

TUMPAT – Kejadian letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku di Balai Polis Marin, Tak Bai di selatan Thailand malam kelmarin turut dirasai oleh lebih 500 penduduk di Pengkalan Kubor di sini yang jaraknya kira-kira 200 meter dari lokasi insiden berkenaan.

Rata-rata penduduk di kawasan itu memberitahu mereka turut merasai gegaran letupan bom tersebut sebelum lari untuk menyelamatkan diri dalam kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam waktu Malaysia itu.

Selain itu, terdapat segelintir penduduk Pengkalan Kubor yang bergegas ke tepi Sungai Golok memberanikan diri untuk melihat kejadian yang berlaku di selatan Thailand tersebut.

Penduduk, Kamariah Sulaiman, 63, berkata, rumahnya yang terletak di pinggir Sungai Golok kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian seakan-akan mahu runtuh susulan beberapa siri dentuman bom berkenaan.

“Kami nampak api (dari lokasi kejadian) dan bimbang sekiranya ada peluru yang tersesat datang ke arah sini. Kejadian pertempuran tersebut berlaku selama hampir dua jam.

“Ada penduduk yang memberanikan diri pergi ke Kompleks Perikanan di sini untuk melihat kejadian tersebut secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini semalam.

Berita berkaitan: Letupan bom, berbalas tembakan gegar Tak Bai

Berita berkaitan: Stesen polis marin Tak Bai diserang, tiga cedera 

Menurut Kamariah, meskipun lokasi kejadian tersebut hampir dengan rumahnya, namun dia bersyukur kerana tiada sebarang serpihan letupan memasuki kawasan rumah penduduk.

Cerita wanita itu lagi, kejadian malam kelmarin adalah yang keempat berlaku di Tak Bai sejak 40 tahun dia menetap di kampung tersebut.

“Kejadian letupan bom pada malam tadi (kelmarin) yang pa­ling kuat dan paling hampir de­ngan Sungai Golok. Saya agak jika ia berlarutan sepanjang malam, atap rumah penduduk mungkin boleh runtuh.

“Walaupun dua jam, saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bimbang sekiranya kejadian tersebut berulang lagi,” katanya.

Keadaan lengang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Pengkalan Kubor, Tumpat semalam. – ZULHANIFA SIDEK

Tinjauan Kosmo! di Pengkalan Kubor semalam mendapati, kawasan seberang terutamanya di Tak Bai sunyi sepi tanpa pergerakan orang ramai.

Pihak berkuasa Thailand dilihat sedang mengawal ketat kawasan tebing Sungai Golok di negara berkenaan.

Berita berkaitan: Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden di Tak Bai

Selain itu, pergerakan feri antara Tak Bai dan Pengkalan Kubor juga dihentikan segera selepas arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand.

Sementara itu, penduduk di Tak Bai yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, kejadian letupan bom dan berbalas tembakan dipercayai melibatkan puak pemisah Thailand dan pihak berkuasa negara berkenaan.

“Kejadian letupan bom sudah lama tidak berlaku di Tak Bai. Kami tidak berasa gentar kerana sudah biasa merasai kejadian letupan di sini.

Kelihatan pihak berkuasa meninjau di sempadan ekoran insiden letupan bom di Tak Bai kelmarin.-ZULHANIFA SIDEK

“Ada penduduk yang mendakwa ternampak lelaki bermotosikal membawa senjata api sebelum melepaskan tembakan.

“Beberapa kenderaan dan bangunan berdekatan terbakar,” katanya ketika dihubungi Kos­mo!.

Dalam pada itu, Che Will, 55, berkata, aktiviti perniagaan di pekan Tak Bai dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa melakukan pembersihan di lokasi kejadian.

“Mujur ketika kejadian saya berada di rumah,” katanya yang memberitahu insiden kelmarin adalah yang kedua yang terburuk selepas tahun 2004.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI